20 Feb - Warga SK Sg Bunyi pada pagi ini telah menjayakan pra kejohanan sukan tahunan 2018. Tiga acara telah dipertandingkan pada pagi ini iaitu acara lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru. Cuaca cerah yang mengiringi kejohanan pagi ini telah melancarkan semua acara tanpa kehadiran perkara-perkara yang tidak diingini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang yang berjaya mengharumkan rumah sukan masing-masing. Tidak lupa juga sekalung penghargaan diucapkan kepada urusetia kejohanan, para guru, kakitangan, ibu bapa dan murid-murid yang bersama-sama menjayakan kejohanan kali ini.

07 Feb - Semua murid berusaha sedaya upaya untuk menyumbang mata pada temasya sukantara yang diadakan pada hari ini. Cuaca sejuk pagi ini membolehkan murid-murid beraksi dengan lebih baik dalam setiap acara yang dipertandingkan. Temasya hari pertama dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan kumpulan B. Acara lompat jauh dan lompat tinggi khusus untuk kumpulan A dan acara larian dan lompat tinggi untuk kumpulan B. Semua murid dimestikan untuk menyertai acara setiap kumpulan bagi menyumbang mata kepada rumah sukan masing-masing.

06 Feb - Tuan Guru Besar SKSgB, Hjh. Ponnisah binti Daud hari ini mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat sekolah yang telah diadakan. Turut bersama dengan beliau adalah GPK Pendidikan Khas, Noraini binti dan GPK Hal Ehwal Murid, Katni bin Saparie. Kira-kira 500 orang murid SKSgB serta barisan guru dan kakitangan sekolah ini menyertai perarakan sempena hari kelahiran Rasulullah. Perarakan jam 8 pagi sejauh satu kilometer itu, bermula di perkarangan sekolah menuju ke Masjid Jamek Sungai Bunyi dan berakhir di dewan SK Sungai Bunyi.

Majlis Perpisahan Ustaz Fauzi

24 Jan - Pada hari ini telah berlangsung masjlis perpisahan dua orang guru iaitu Ustaz Fauzi bin Sulehan dan Cikgu Nortifazilah binti Jasman. Majlis telah diuruskan dengan jayanya oleh Kelab Bilik Guru dan Staf (KEBIRUS) yang diketuai oleh pengerusi baharu iaitu Cikgu Khairul Anwar. Setelah berpenat lelah dan bersengkang mata menyiapkan dewan serta aturcara majlis, akhirnya syabas dan tahniah buat ahli jawatankuasa pelaksana yang dapat mereliasasikan sambutan yang gilang gemilang bagi memperingati jasa-jasa kedua-dua orang guru yang diraikan. Kalau ada sumur di ladang, boleh kami menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, moga kita bertemu lagi.

Program Motivasi Kemerlangan

21 Jan - Pada hari ini telah diadakan program motivasi kecemerlangan & majlis permuafakatan ibu bapa tahun 6. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik Tahun 6 di bawah penyelarasan Cg. Meskiah binti Subari dibantu oleh ahli jawatankuasanya telah menarik sebahagian besar ibu bapa penjaga untuk menghadirkan diri. Program diisi dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh penceramah yang didatangkan khas dari Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim. Seterusnya diikuti dengan pelantikan ahli jawatankuasa permuafakatan ibu bapa tahun 6. Kini sekolah telah pun memiliki ahli permuafakatan ibu bapa yang baharu untuk tahun 2018.

Makluman kepada semua guru perkara seperti diatas akan diadakan seperti ketetapan berikut:

Tarikh : 22 Januari 2018
Hari : Isnin
Masa : 1:45 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat

17 Jan - Pasukan ping pong di bawah pengurusan Ustaz Bahrin telah menyertai kejohanan ping pong yang telah diadakan pada hari semalam. Syabas kepada pengurus dan penolong pengurus pasukan yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah. Pada kejohanan kali ini seramai enam orang peserta telah dihantar untuk mewakili sekolah dan tahniah apabila dua orang peserta telah berjaya memenangi tempat kedua dan ketiga. Peserta sekolah juga telah dipilih untuk mewakili zon untuk bertanding ke peringkat daerah. 

16 Jan - Tahniah diucapkan kepada pasukan sepak takraw SK Sungai Bunyi yang telah berjaya menjadi johan dalam kejohanan Sepak Takraw Zon Pekan Nanas yang telah diadakan semalam. Pengurus pasukan Ustaz Hafizuddin Nazarali berserta pembantu pengurusnya telah berjaya meneruskan legasi kecemerlangan pasukan sepak takraw pada tahun ini. 

16 Jan - Pada pagi ini telah diadakan kejohanan merentas desa. Cuaca cerah menyelubungi pagi seolah-olah turut bersama-sama turut serta dalam kejohanan kali ini setelah hujan turun tanpa henti dua tiga hari yang lalu. Kejohanan kali ini disertai oleh semua murid kecuali murid yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa penjaga atas sebab-sebab tertentu.