16 Jan - Pada pagi ini telah diadakan kejohanan merentas desa. Cuaca cerah menyelubungi pagi seolah-olah turut bersama-sama turut serta dalam kejohanan kali ini setelah hujan turun tanpa henti dua tiga hari yang lalu. Kejohanan kali ini disertai oleh semua murid kecuali murid yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa penjaga atas sebab-sebab tertentu.

Acara dimulakan dengan berkumpul di dewan untuk bersarapan bersama-sama. Setiap murid diberikan roti sebagai pengalas perut untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingi berlaku. Seterusnya acara memanaskan badan dilaksanakan dengan dipimpin oleh Cikgu Jaffri bin Salimin. Selesai acara memanaskan badan, murid secara berperingkat dilepaskan untuk memulakan larian.

Puan Guru Besar telah berbesar hati melepaskan peserta kejohanan. Murid tahap satu dilepaskan terlebih dahulu dan murid tahap dua dilepaskan setelah murid tahap satu selesai menamatkan larian masing-masing. Jarak larian tahap satu adalah sehingga ke Masjid Sungai Bunyi dan berpatah balik ke sekolah. Manakala murid tahap dua perlu menamatkan larian dari sekolah sehingga penghujung jalan Parit Kechil dan berpatah balik semula ke sekolah.

Alhamdulillah kejohanan kali ini dapat berlangsung dengan jayanya setelah mendapat kerjasama penuh daripada guru-guru, ibu bapa, kakitangan sokongan serta murid-murid.